Teknik Sulaman Ayak Mesin Bunga Tanjung

Sulaman kerawang mempunyai pelbagai teknik yang boleh dihasilkan. Daripada teknik ayakkan biasa hinggalah teknik yang menghasilkan bunga sulam yang pelbagai gaya menjadi tarikan keunikan sulaman kerawang itu sendiri.

Teknik bunga tanjung, jika dilihat hasilnya ia seperti mudah untuk menghasilkannya. Namun, bunga tanjung ini amat rumit dihasilkan kerana motif bunga tanjung yang cantik akan nampak timbul sepertimana kita merasakan butang baju melekat pada fabrik. Ia timbul dan terletak kemas. Masih dalam ingatan, teknik bunga tanjung ini saya pelajari sangat lama bagi menghasilkan bunga tanjung yang cantik. Teknik bunga tanjung ini pula tidak boleh dihasilkan pada mesin kecil atau separa komputer, ia hanya dihasilkan menggunakan mesin manual industri. Ini kerana ia dihasilkan menggunakan bukaan zig zag.

Bukaan zig zag ini perlulah dihasilkan secara berlapis-lapis secara membulat. Lapisannya perlulah seragam dan kemas pada setiap kelopak. Manakala, saiz kelopak yang dihasilkan itu pula perlulah sama antara satu sama lain. Jika anda hasilkan satu lapisannya tak sama ia akan mempengaruhi hasil sulaman motif bunga tanjung itu dan kelihatan tak cantik. Sebab itulah sulaman motif bunga tanjung ini jarang dihasilkan kini kerana kosnya tinggi berbanding motif bungaan yang lain.

Walaupun begitu, sulaman kerawang motif bunga tanjung ini sangat cantik dan gah apabila berada pada satu-satu fabrik. Bagi mereka yang menyukai sulaman kerawang ini pastinya motif bunga tanjung ini merupakan sebahagian idaman penggemar sulaman kerawang.

Syahida Ramli
lp_teacher
Syahida Ramli merupakan perunding kemahiran berasaskan sulaman, apparel dan fesyen serta keusahawanan Butik dan Akademi Sri Classic. Beliau dilantik sebagai pakar tunggal sulaman Panel NOSS Persijilan Kemahiran Malaysia di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia dan dilantik oleh MARA Malaysia sebagai Panel Pakar Runding Berkaitan Kemahiran Keusahawanan Sulaman dan Aksesori Wanita. Beliau mendapat asas kemahiran sulaman ini semenjak berusia 10 tahun yang merupakan warisan keluarga beliau sejak turun temurun dari satu generasi ke satu generasi.

Tinggalkan Balasan