Blog
Sulaman Ayak Mesin – Cara Membezakan Identiti Sulaman
- 20 September, 2015
- Posted by: Syahida Ramli
- Category: Mengenal Teknik Sulaman Mesin

Melihat telekung sembahyang yang cantik disulam mengingatkan saya tentang perbezaan sulaman ayak mesin yang dihasilkan. Masakan tidak, kerana sulaman ayak mesin yang dihasilkan di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia, mempunyai identitinya tersendiri. Dari segi pergerakan menyulamnya juga dapat dibezakan.
Jika dahulu, saya pernah berkongsi tip di mana perbezaannya boleh dilihat berdasarkan motif dan warnanya, maka pada kali ini pula, saya ingin kongsikan lagi perbezaan sulaman ayak mesin dari segi pergerakan menyulamnya atau pergerakan mengayaknya pula.
Perbezaan Sulaman Ayak Mesin Berdasarkan Bingkai Bunga.
Yang pertama ialah dari segi bingkai bunga. Biasanya motif bunga yang mempunyai kelopak berlapis-lapis adalah antara motif yang diminati oleh para penyulam sama ada Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Malaysia.
Identiti Bordir Indonesia.
Bagi penyulam Indonesia, mereka tidak suka menghasilkan bingkai bunga. Jika bingkai bunga dihasilkan sekalipun, bingkai ini akan dihasilkan dengan jahitan jelujur sahaja. Bukannya dihasilkan dengan bukaan zig zag. Selain daripada itu, tiada kaedah cincang yang dibuat dalam satu-satu kelopak bunga. Tetapi ia digantikan dengan bukaan zig-zag. Jadi inilah antara identiti yang dapat dilihat daripada hasil sulaman ayak mesin Indonesia.
Identiti Sulaman Ayak Mesin Thailand & Vietnam.
Bagi penyulam mesin Thailand dan Vietnam pula, bingkai ini dihasilkan dengan warna yang sama dengan warna kelopak bunga tersebut. Dan cincangan di bahagian tengah kelopak tidak dihasilkan. Sebaliknya, pergerakan sulaman mereka dapat dibaca dengan tulang ataupun mempulur yang dibuat sebelum penghasilan bukaan zig zag. Dengan cara ini, kelopak bunga yang dihasilkan akan nampak timbul dan cantik. Walaupun tiada warna kontra dihasilkan seperti mana penyulam Indonesia, mempulur ini akan menjadikan sulaman ayak mesin tersebut timbul.
Identiti Sulaman Ayak Mesin Tempatan.
Bagi penyulam tempatan pula, mempulur ini tidak akan dihasilkan. Sebaliknya, bukaan zig-zag akan digunakan. Ada juga sesetengah penyulam yang menggunakan teknik cincang keseluruhannya bagi motif bunga yang dilukis. Inilah yang membezakan hasil sulaman ayak mesin yang menjadi identiti sesebuah Negara.
Perbezaan Sulaman Ayak Mesin Dari Segi Pertindihan Motif.
Keduanya dari segi pertindihan zig-zag dalam sesuatu motif. Apabila bungaan zig zag ini digunakan, ia akan nampak timbul walaupun dilakukan secara tidak kemas atau terlampau laju. Namun, bagi sesetengah penyulam, mereka akan menambahkan sulaman ayak mesin mereka dengan bukaan zig zag tetapi menggunakan warna yang kontra. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk menghasilkan rekaan sulaman ayak mesin yang timbul.
Begitu juga dengan pergerakan pada setiap motif. Di mana pergerakan ayak sulaman ini akan menjadikan sulaman tersebut nampak lain atau berbeza antara satu dengan yang lain, biarpun menggunakan motif yang sama. Sebab itulah, kadang-kadang anda akan dapati penghasilan corak yang berbeza walaupun pada motif asal, sulamannya adalah sama.
Ya, itulah identiti ataupun trademark yang boleh anda lihat dalam mengetahui di mana asal sesuatu sulaman ayak mesin tersebut dihasilkan.
Author:Syahida Ramli
Tinggalkan Balasan Batal balasan
Anda perlu log masuk untuk menghantar ulasan.