Seni Jahitan – Menjahit Menggunakan Mesin Atau Tangan

Bidang jahitan sudah mula mendapat tempat di hati semua golongan masyarakat sama ada golongan berada, golongan sederhana mahupun juga golongan berpendapatan rendah. Semua golongan kini meminati dunia jahitan dengan matlamat yang berbeza-beza, ada yang belajar kerana minat yang mendalam terhadap seni jahitan.

 

Tidak kurang juga yang belajar untuk memenuhi tuntutan kerjaya dan ada yang belajar dek perbelanjaan keluarga kian meningkat di samping ingin mencari pendapatan sampingan keluarga. Apapun tujuannya, yang pasti seni jahitan ini semakin menjadi satu kemestian yang perlu dikuasi oelh setiap wanita.

 

Seni Jahitan Menjadi Tarikan Untuk Dipelajari.

 

Begitulah uniknya seni jahitan ini kini menjadi tarikan untuk dipelajari. Seingat saya, pernah seorang teman mengatakan kepada saya bahawa seseorang yang menjahit ini sentiasa mengundang rezeki datang kepadanya. Malah, modal yang diperlukan sangat kecil. Ini kerana jika tiada mesin, pastinya mereka boleh mulakan jahitan menggunakan tangan sahaja. Setelah keuntungan diperolehi, barulah boleh dibeli mesin jahit jika ingin menjahitnya menggunakan mesin jahitan. Namun, jika mereka ingin meneruskan jahitan yang hanya melibatkan tangan ia tidak menjadi sebarang masalah.

 

Seni Jahitan Menggunakan Tangan Untuk Busana Kurung Tradisional.

 

Menjahit Baju Kurung Johor Menggunakan TanganTahukah anda bahawa busana kurung tradisional dijahit keseluruhannya menggunakan tangan. Busana tradisional ini sangat popular di negeri Johor. Saya pernah melihat baju kurung ini dihasilkan. Ia bermula dari mengukur badan sehinggalah busana itu siap dipakai oleh si pemakainya. Uniknya di sini, ia tidak dijahit tepi sebagaimana baju kurung sekarang. Malah potongannya juga nampak unik kerana sentiasa bersambungan antara satu sama lain. Bayangkanlah jika sebelum ini saya biasa menghasilkan kekek, pesak dan juga tangan secara berasingan tetapi saya dapat melihat kesemuanya bercantum antara satu sama lain.

 

Pada mulanya, saya nampak pelik apabila melihat kekek sudah bercantum dengan pesak dan sebelah lagi dicantumkan dengan tangan. Itulah pertama kali saya melihat baju kurung tradisional dihasilkan. Ia dihasilkan oleh penjahit yang sangat mahir walaupun sudah berumur. Sebab itulah saya melihat bahawa hanya mereka yang mahir sahaja dapat menghasilkan baju kurung tradisional ini. Puas juga saya mencari, saya dapat berjumpa dengan pakar menjahit baju kurung Johor itu secara kebetulan di rumahnya. Sungguh beruntung saya ketika itu kerana saya kira itulah peluang keemasan yang tidak perlu boleh saya lepaskan.

 

Potongan Baju Kurung Tradisional Untuk Pelbagai Rekaan.

 

Jahit Baju Menggunakan TanganSebab itulah jika kita lihat potongan baju tradisional ini sangat unik dan boleh digayakan dalam pelbagai rekaan. Misalannya baju kurung Pahang potongan pasang, seingat saya asalnya mempunyai leher cekak musang dan dilihat ramping di pinggang dan kembang di bahagian bawah baju. Malah ia mempunyai kekek dan pesak. Apabila ia dimodenkan, maka baju kurung Pahang ini tidak lagi mempunyai kekek dan terus sahaja bahagian tangan disambung dengan pesak.

 

Selain itu juga, pesak bagi baju kurung Pahang ini mempunyai pelbagai jenis antaranya pesak yang berbentuk A, pesak yang dibelah pada bahagian tengah dan pesak yang tidak dipotong iaitu ia dihasilkan sekeping sahaja.

 

Keunikan Seni Jahitan Mengikut Arus Fesyen Terkini.

 

Ya, itulah uniknya hasil seni jahitan ini kerana ia boleh diubah menjadi lebih moden. Namun, ia masih lagi mempunyai nilai tradisi yang cantik. Sebab itulah saya katakan tadi bahawa seni jahitan ini tidak memerlukan modal yang besar untuk anda memulakannya. Ini kerana ia boleh dihasilkan menggunakan apa sahaja keperluan yang ada di sekeliling anda. Tidak perlulah terlalu menekan diri untuk mempelajarinya. Malah anda boleh mempelajarinya secara santai mengikut masa dan gaya anda tersendiri. Selamat mencuba!

Syahida Ramli
lp_teacher
Syahida Ramli merupakan perunding kemahiran berasaskan sulaman, apparel dan fesyen serta keusahawanan Butik dan Akademi Sri Classic. Beliau dilantik sebagai pakar tunggal sulaman Panel NOSS Persijilan Kemahiran Malaysia di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia dan dilantik oleh MARA Malaysia sebagai Panel Pakar Runding Berkaitan Kemahiran Keusahawanan Sulaman dan Aksesori Wanita. Beliau mendapat asas kemahiran sulaman ini semenjak berusia 10 tahun yang merupakan warisan keluarga beliau sejak turun temurun dari satu generasi ke satu generasi.

Tinggalkan Balasan