Risiko Sulaman Kerawang Pada Fabrik Nipis

Risiko sulaman kerawang pada fabrik nipis merupakan topik yang bakal dibincang pada kali ini. Umunya, sulaman kerawang sangat cantik apabila dihasilkan pada busana. Apatah lagi jika sulaman kerawang itu dihasilkan pada fabik polos yang memberi satu kepuasan kepada para penyulam untuk lebih kreatif dalam menghasilkan motif sulaman kerawang. Ini kerana para penyulam bebas menggunakan apa sahaja gaya sulaman atau motif yang diingini ke atas fabrik polos tersebut.

 

Apakah Risiko Dalam Menghasilkan Sulaman Kerawang?

 

Namun, pernahkah anda terfikir sulaman kerawang ini turut mempunyai risiko dalam menghasilkannya walaupun sulaman kerawang yang bakal dihasilkan adalah cantik dan berkualiti?

 

Ya benar, walaupun sebelum ini saya pernah menyiarkan artikel yang berkaitan dengan sulaman kerawang yang boleh digunakan sebagai satu langkah untuk memperbaiki fabrik yang terkoyak serta boleh memanjangkan lagi fabrik yang senteng. Maka, pada kali ini pula, saya akan kemukakan perbincangan yang sedikit lari dan berbeza daripada kebiasaan kegunaan sulaman kerawang. Iaitu risiko yang bakal dihadapi oleh anda jika menyulam pada fabrik nipis di luar tetapi tebal di bahagian dalamnya.

 

Pengalaman Berharga Menyulam Kerawang Pada Fabrik Nipis.

 

Fabrik SuteraWalaupun bertahun-tahun saya menyulam kerawang. Dan pelbagai gaya dan motif sulaman telah dihasilkan pada fabrik, satu pengalaman menyulam yang saya peroleh semasa menyulam suatu tika dulu, menjadikan ia satu pengalaman yang berharga buat saya untuk dikongsikan.

 

Satu ketika dahulu, saya pernah menyulam baju yang dihasilkan daripada fabrik sutera sifon. Jika kebiasaannya fabrik yang ingin disulam kerawang ini akan dialas menggunakan fabrik sifon, satin lembut, funji, kapas (bawal) dan jersey.

 

Namun, pada waktu itu, saya dapati fabrik sifon pelanggan saya kali ini telah pun dilapiskan dengan fabrik yang tebal dan berat. Seingat saya, ia seperti fabrik seluar slack lelaki.

 

Jadi, setelah diteliti betul-betul, fabrik dibawahnya tadi menyerupai fabrik satin yang tebal dan berat. Memang jika fabrik tersebut tidak disulam kerawang, penggunaan fabrik tebal dan berat tersebut akan menghasilkan busana sifon yang cantik dan terletak. Inilah fungsi lapisan fabrik tebal yang diletakkan di bawahnya.

 

Namun, jika busana tersebut hendak ditambah lagi dengan aksesori sulaman kerawang, ia akan menyebabkan sulaman kerawang yang dihasilkan akan mengembang. Saya pernah utarakan masalah ini kepada penempah, tetapi penempah tetap mahukan fabrik tersebut disulam dengan sulaman kerawang dan bukannya disulam dengan manik, riben atau sulam benang. Mahu tak mahu, saya terpaksa akur dengan permintaannya.

 

Kesan Nyata Fabrik Memanjang Setelah Siap Disulam Sulaman Kerawang.

 

Akibatnya, setelah sulaman kerawang tersebut siap dihasilkan pada fabrik tersebut, anda akan dapati fabrik sifon tersebut akan menjadi panjang. Walaupun semasa menghasilkan sulaman kerawang, keadaan fabrik sifon itu kelihatan tidak berubah, tetapi hasilnya berlaku sebaliiknya selepas disulam.

 

Di mana fabrik sifon tersebut akan mengembang dan lebihan fabrik yang banyak akan terhasil. Oleh itu, terpaksalah saya memotong sebahagian daripada fabrik sifon tersebut. Ia bertambah rumit kerana lebihan fabrik sifon itu perlulah dipotong di bahagian pangkal ketiak dan bukannya di hujung lengan. Ini kerana bahagian lengan telah siap disulam kerawang dan bahagian pangkal ketiak sahaja yang tinggal dan belum disulam lagi.

 

Jadi, apa yang menjadi kengkangan saya pada waktu itu adalah lebihan fabrik sifon tersebut akan menghasilkan gelembung pada busana dan ia kelihatan sangat tidak cantik apabila busana tersebut siap dicantum kesemuanya selepas disulam.

 

Iktibar Dari Pengalaman Menyulam Kerawang Pada Fabrik Nipis Di Luar Tetapi Tebal Di Dalam.

 

Fabrik Sifon atau ChiffonYa, daripada perkongsian pengalaman saya tersebut tadi, diharap ia dapat dijadikan panduan yang berguna kepada anda sewaktu menghasilkan sulaman kerawang untuk busana seperti ini sifatnya. Ini kerana, sekiranya anda tidak mempunyai pengalaman yang banyak dalam menghasilkan sulaman kerawang ditambah dengan pengalaman sifar dalam bidang jahitan, situasi di atas bakal menjadi pengalaman yang menyukarkan untuk diri anda.

 

Justeru, jika anda tidak mahu menghasilkan sulaman kerawang yang berisiko seperti di atas, perlulah anda cadangkan kepada pelanggan anda. Sebaik-baiknya busana seperti di atas hanya ditambah serikan dengan aksesori lain seperti manik ataupun sulam benang mahupun sulam reben. Ini kerana, fabrik lining yang berat di bahagian dalam akan menyebabkan fabrik nipis di luarnya akan memeri setelah disulam kerawang nanti.

 

Risiko Tempahan Sulaman Kerawang Untuk Fabrik Nipis Tetapi Tebal Di Dalamnya Boleh Dielakkan Seawal Mungkin.

 

Inilah yang dinamakan risiko sulaman kerawang pada fabrik sebegini. Iaitu fabrik nipis di bahagian luar dan di bahagian dalamnya tebal. Jika seseorang penyulam itu tidak mempunyai asas jahitan, pastinya ia akan menyebabkan busana tersebut rosak keseluruhannya nanti.  Jadi risiko sebegini perlu dielakkan seawal mungkin sebelum ia mengundang masalah kepada anda.

 

Semoga dengan tips dan panduan ini, akan menjadikan anda lebih berhati-hati dengan jenis fabrik yang ingin disulam kerawang. Sebagaimana yang saya cadangkan tadi, jika fabrik tersebut berisiko untuk dihasilkan sulaman kerawang, beritahulah pelanggan anda seawall mungkin.

 

Untuk itu, selamat menghasilkan sulaman kerawang!

Akademi2u
administrator
Akademi2u merupakan sebuah gedung pembelajaran atas talian atau online yang memuatkan kemahiran jahitan, sulaman dan kraf kreatif.

Tinggalkan Balasan