Blog
Kain Lipat Kipas – 2 Cara Mudah Menjahitnya
- 5 September, 2015
- Posted by: Syahida Ramli
- Category: Cara Menjahit Baju

Kain lipat kipas. Biasanya, kain lipat kipas ini tidak dihasilkan di bahagian hadapan ataupun di bahagian tepi. Sebaiknya ia hanya dijahit di bahagian belakang kain.
Inilah perkara yang ingin saya kongsikan pada kali ini. Jika sebelum ini, anda sudah mengetahui tentang bagaimana menghasilkan kain duyung, maka pada kali ini pula, saya ingin kongsikan tentang kain lipat kipas.
Kain Lipat Kipas Dihasilkan Secara 2 Keping.
Kain lipat kipas di bahagian belakang ini kebiasaannya dihasilkan untuk kain korporat yang dikenali dengan kain A line. Hanya satu lipatan seperti box pleat dihasilkan di bahagian belakang kain ini. Manakala kain lipat kipas pula disusun 2 -3 kali lipatan bertemu sepertimana kain A line tadi.
Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan dalam menghasilkan kain lipat kipas ini. Jika anda ingin memudahkan kerja menggunting dan menjahit, anda boleh hasilkan kain lipat kipas ini secara 2 keping sahaja. Di mana sekeping untuk bahagian hadapan dan sekeping lagi untuk bahagian belakang. Anda pasti tertanya-tanya bagaimana untuk menghasilkan kain lipat kipas dengan cara begitu kan? Sebenarnya, jika kain tersebut dibentangkan, ia akan kelihatan seperti bongkah huruf U yang besar. Di mana kelihatan seakan-akan tiang di bahagian kiri dan kanan. Manakala di bahagian tengahnya seperti longkang.
Jadi setelah anda mengguntingkannya seperti di atas, proses menjahitnya pula perlu dilakukan. Caranya ialah dengan mencantumkan kiri dan kanan tiang tadi dengan dijahit bersama zip di bahagian tengah. Ruang di tengahnya perlulah dilipat-lipat sebanyak 2 hingga 3 kali sahaja untuk membentuk lipatan kipas yang cantik.
2 Hingga 3 Lipatan Ideal Untuk DIhasilkan Pada Kain Lipat Kipas.
Mengapa hanya 2 hingga 3 lipatan sahaja dan tidak boleh dihasilkan lebih? Sebenarnya, jika lipatan yang dilakukan lebih daripada 3, ia akan mengakibatkan kain tersebut tidak seimbang. Ini kerana kain di bahagain belakang tadi akan menjadi sedikit berat. Hal ini menyebabkan kain tersebut akan meleret ke tanah dan menyebabkan bahagian hadapan kelihatan lebih senteng. Oleh sebab itulah, hanya 2 hingga 3 lipatan sahaja yang dikira sebagai lipatan ideal untuk menghasilkan kain lipat kipas ini.
Menghasilkan Sekeping Demi Sekeping Kain Lipat Kipas.
Selain daripada itu, cara kedua yang boleh dilakukan untuk menghasilkan lipatan kipas ini adalah secara sekeping demi sekeping. Ia akan menjadi 4 keping kain lipatan kipas. Ada juga kebaikan jika cara ini dilakukan. Di mana walaupun kerjanya sedikit renyah, namun ia selalu digunakan apabila kain yang diberikan pelanggan tidak cukup. Dengan kaedah ini, penjahit dapat menghasilkan kain lipat kipas dengan baik kerana ia dibuat secara berkeping-keping. Jika tidak cukup, penjahit akan cuba untuk ‘mencuri’ sedikti untuk menghasilkan kain lipat kipas yang cantik.
Oleh itu, kedua-dua cara di atas boleh digunakan dalam menghasilkan kain lipat kipas anda. Malah teknik di atas juga cepat dan mudah dihasilkan.
Author:Syahida Ramli
Tinggalkan Balasan Batal balasan
Anda perlu log masuk untuk menghantar ulasan.