Fabrik Sutera – 4 Sebab Upah Tempahannya Mahal

Fabrik sutera sangat lembut dan sangat selesa dipakai. Ia bukan sahaja sejuk dan lembut, malah ia juga mampu menyerap peluh badan dengan baik. Ini memberikan keselesaan kepada si pemakai. Bahkan fabrik sutera ini bukan sahaj prestij kerana nilai harganya yang agak mahal. Apatah lagi sutera tersebut dihiasi dengan lukisan batik secara tulisan tangan.

 

Faktor Tempahan Fabrik Sutera Tidak Digemari Penjahit.

 

Namun, tahukah anda bahawa seseorang penjahit biasanya tidak menyukai fabrik sutera ini. Malah, jika mereka sanggup menjahitnya, pasti mereka akan mengenakan upah jahit yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan upah menjahit fabrik-fabrik yang lain. Jadi apakah sebabnya situasi sebegini berlaku? Tentu anda ingin tahu mengapa begitu sukarnya untuk menjahit fabrik sutera ini. Jadi, teruskan pembacaan anda bersama kami.

 

Kain Fabrik Sutera 4 Ela dan Bukannya 4 Meter.

 

Pertamanya, kebiasaannya fabrik sutera ini tidak dihasilkan 4 meter. Ia hanya mempunyai 4 ela kain sahaja iaitu lebih kurang 3.7 meter sahaja. Walaupun bezanya tidaklah banyak tetapi kesannya adalah besar untuk menghasilkan sesuatu busana sama ada baju kurung ataupun baju-baju lain. Apabila ukuran ini tidak mencukupi, maka ia akan mendatangkan masalah kepada penjahit, khususnya jika penempah mempunyai badan yang besar atau rangka yang besar.

 

Kedudukan Corak Batik Sutera Mempunyai Corak Melintang dan Menegak.

 

Proses Menjahit Tempahan Fabrik SuteraKeduanya, kedudukan corak batik sutera. Kebiasaannya, fabrik sebegini dihasilkan mempunyai corak berkaki. Malah pelukis batik sendiri sudah membezakan sendiri antara corak melintang dan menegak untuk bahagian baju dan untuk bahagian kain. Ia dihasilkan dengan 2 design dalam 4 ela tersebut. Perkara ini menjadikan batik sutera ini terhad dan tidak bebas untuk penjahit mengguntingnya.

 

Hal ini kerana, jika coraknya berkaki, pastinya ia perlu dihasilkan secara menegak. Sama ada pada bahagian atas ataupun pada bahagian bawah fabrik. Ia sama sekali tidak boleh digunting atau dihasilkan secara melintang. Ini kerana perihal sebegini menjadikan design batik tadi sangat tidak sesuai dan boleh merosakkan struktur lukisan batik tersebut.

 

Perkara ini berbeza dengan fabrik kain meter yang lain. Di mana corak berkakinya hanya dilukis pada bahagian segi kain sahaja. Malah, ia boleh digunakan untuk keseluruhan hasil jahitan kerana ia tidak mempunyai pembahagian corak pada kain tersebut. Jika ia tidak mencukupi pun, penjahit dapat ‘mencuri’ atau adjust sedikit cara guntingannya. Ini kerana corak kain biasa yang berkaki ini seragam. Ia tidak seperti fabrik batik sutera yang sudah mempunyai corak untuk bahagian badan dan bahagian kainnya.

 

Gosok Jangan Tak Gosok.

 

Ketiganya, kain sutera pula mudah berkedut. Jadi apabila menggunting kain ini, ia perlu digosok terlebih dahulu secara keseluruhannya. Bayangkan jika anda terpaksa menggosok 4 meter kain. Kemudian, semasa menggunting pun akan wujud tempat-tempat yang menjadi berkedut. Jadi, proses menggosoknya perlu dilakukan semula supaya mendapat ukuran yang tepat semasa mengguntingnya. Begitu juga semasa proses menjahit, ia perlu digosok agar memudahkan proses menjahit bagi menjamin jahitan yang terhasil menjadi lebih kemas.

 

Proses Menyiapkan Baju Fabrik Sutera Mengambil Masa Lama.

 

Keempat, masa yang diambil akan menjadi sedikit lama. Bayangkan kerja menggosok sahaja perlu acap dilakukan. Dalam erti kata lain, proses menjahit fabrik sutera ini menjadi sedikit leceh dan renyah. Berkemungkinan anda akan mengambil masa yang agak lama sedikit untuk menyiapkannya. Sebagai contohnya, sebagai penjahit, kebiasaannya anda boleh menyiapkan 3 baju dalam sehari, berkemungkinan dengan fabrik sutera sebegini, ia mengambil masa 2 hari untuk menyiapkan sehelai baju sahaja.

 

Sedia Membayar Upah Lebih Mahal Untuk Tempahan Fabrik Sutera.

 

Thumbnail Proses Menjahit Tempahan Fabrik SuteraYa, itulah antara faktor yang menyebabkan upah untuk menjahit fabrik sutera ini sedikit mahal berbanding dengan fabrik-fabrik biasa. Sebab itulah, jika pelanggan tidak sanggup membayar lebih, sesetengah penjahit akan menolak untuk menjahit fabrik sutera ini. Hal ini kerana tempahan menjahit fabrik sutera ini tidak berbaloi dek kerja renyah yang terpaksa diharungi penjahit seperti yang disebutkan penulis sebelum ini.

 

Oleh itu, jika anda gemar memakai fabrik sutera, maka janganlah berkira untuk membayar upah lebih kepada penjahit anda. Agar anda dapat memakai busana tersebut seperti yang anda ingini. Hargailah usaha dan keringat penjahit yang menghasilkan busana fabrik sutera hanya yang terbaik untuk anda.

Akademi2u
administrator
Akademi2u merupakan sebuah laman web yang mengajar anda bagaimana untuk menjahit dan menyulam sendiri biarpun anda tiada asas jahitan. Kami mengajar anda tanpa perlu menghadiri bengkel sebenar.

Tinggalkan Balasan