Blog
Corak Tempahan Sulaman Kerawang Yang Cantik – 2 Petua
- 11 Ogos, 2015
- Posted by: Syahida Ramli
- Category: Mengenal Teknik Sulaman Mesin

Corak tempahan sulaman kerawang yang cantik adalah matlamat setiap penempah. Sama ada muda atau berumur, pastinya corak sulaman kerawang yang cantik menjadi idaman. Namun, sebagai penyulam kerawang yang baru, anda perlu ingat kepada 2 petua ini.
Kenali 2 Petua Menghasilkan Corak Tempahan Sulaman Kerawang Yang Cantik.
Terdapat 2 petua dalam menghasilkan corak tempahan sulaman kerawang yang baik dan cantik. Kedua-dua petua ini sentiasa simbiosis antara satu dengan yang lain. Kedua-dua petua tersebut adalah pesanan utama yang saya terima sewaktu mula-mula belajar menyulam kerawang 28 tahun yang lalu. 2 Petua tersebut adalah keselesaan dalam mengendalikan mesin sulam dan juga kepakaran sewaktu mengayak seseorang penyulam. Dengan kedua-dua petua inilah, maka corak tempahan sulaman kerawang yang dihasilkan akan lebih cantik dan berkualiti. Untuk itu, mari kita tinjau dengan lebih terperinci kedua-dua petua ini.
Petua Pertama Menghasilkan Corak Tempahan Sulaman Kerawang.
Kita menelusuri petua pertama terlebih dahulu. Petua pertama yang disebutkan tadi iaitu keselesaan sewaktu mengendalikan mesin sulam. Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana caranya untuk mengendalikan mesin sulam anda supaya lebih selesa.
• Adakah perlu mesin sulam khas dibeli bagi menghasilkan corak tempahan sulaman kerawang ini dengan cantik? Persoalan ini merupakan pertanyaan yang sering diajukan oleh peserta bengkel sulam mesin kami. Ini kerana apabila mereka mengikuti bengkel-bengkel sulam mesin terdahulu di tempat-tempat lain, kebiasaannya mereka diminta untuk membeli mesin yang digunakan oleh pengajar.
• Bolehkah anda menyulam dengan menggunakan mesin jahit yang sedia anda dimiliki di rumah anda? Ini juga merupakan soalan feymes yang sering ditanya. Malah, kesemua daripada peserta yang hadir dalam bengkel kami akan mengatakan jawapan yang sama iaitu tidak boleh.
• Bolehkah mesin domestik ataupun mesin portable biasa digunakan untuk menyulam kerawang? Ini juga persoalan yang sering bermain di benak fikiran peserta bengkel kami. Dan seperti soalan kedua di atas, mereka akan menjawabnya tidak boleh. Bahkan ramai yang telah pergi ke bengkel sulam mesin yang terdahulu juga mengatakan perkara yang sama iaitu tidak boleh.
Dan banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan tentang faktor keselesaaan pengendalian mesin ini. Sebenarnya, keselesaan menggunakan mesin sulam atau mesin jahit amat bergantung kepada individu itu sendiri. Ada sesetengah individu boleh menggunakan mesin yang disediakan semasa belajar biarpun berlainan dengan mesin yang digunakan di rumah. Namun ada juga sebaliknya. Di mana individu tersebut lebih selesa untuk menggunakan peralatan sendiri daripada menggunakan peralatan yang disediakan semasa proses belajar.
Jika saya bertanya kepada anda… mana satukah mesin yang paling mudah anda kendalikan (seperti fungsinya, ragam mesinnya, ketahanannya dan sebagainya) sama ada mesin yang sedia anda miliki atau mesin yang disediakan tenaga pengajar? Jawapannya, sudah tentu mesin yang sedia anda miliki.
Keselesaan Dalam Mengendalikan Mesin Sulam Perlu Diutamakan.
Bagi hemah saya, untuk menjadi penyulam yang mahir, keselesaan pengendalian mesin ini amat perlu. Ia bertujuan agar anda tahu 100% selok belok mesin yang anda gunakan tersebut. Sebagai contohnya, jika benang sulam anda terputus sewaktu menyulam, bagaimana caranya untuk anda memasangkannya semula. Pemasangan benang sulam ini adalah mengikut aliran perjalanan dari atas hingga ke bahagian bawah iaitu bobbin.
Selain itu juga, jika keseimbangan benang tidak stabil sehingga menyebabkan benang sulam mesin anda menggelembung, maka anda perlu perbetulkannya semula. Supaya hasil sulamannya akan cantik dan kemas. Jadi, pada pendapat saya, keselesaan penyulam dalam menggunakan mesin ini perlu bagi mendapatkan hasil corak tempahan sulaman kerawang yang menarik.
Petua Kedua Menghasilkan Corak Kerawang Yang Cantik.
Petua kedua adalah kepakaran dalam kemahiran menyulam. Kepakaran dalam kemahiran menyulam ini boleh dipupuk dengan minat yang mendalam, sabar dan latihan yang berterusan. Ini kerana ketiga-tiga elemen di atas akan menjadikan anda lebih mahir dalam menghasilkan sulaman mesin yang cantik dan berkualiti. Jika tidak, walaupun sulaman anda dapat dihasilkan, corak sulaman anda akan menjadi kaku serta tidak hidup. Malah, ia tidak menghasilkan satu rekaan seni yang mempunyai auranya yang tersendiri.
Proses Memakan Masa Yang Lama.
Oleh kerana itu, faktor kepakaran ini memakan masa yang agak lama untuk menjadikan anda seorang yang mahir dan pakar dalam menyulam ayak kerawang. Pokok pangkalnya ialah lagi lama anda berkecimpung dalam dunia sulaman kerawang ini, maka lagi banyak pengalaman anda dalam menghasilkan apa jua bentuk rekaan sulaman kerawang. Ini kerana ia sudah sebati dengan jiwa anda.
Jadi, sebelum anda mahir dalam menyulam ayak kerawang, maka anda perlu fokus dan konsisten dalam menghasilkannya. Lagi banyak latihan dan aktiviti ayak sulam anda lakukan, maka lagi cepat proses menyebatikan sulam ini dengan jiwa anda akan tercapai. Jika anda seorang pemula sulaman ayak ini, maka lagi banyak latihan yang perlu anda lakukan. Ini kerana seni sulaman kerawang ini mempunyai peminatnya tersendiri. Apa-apa pun, anda perlu sentiasa sabar dalam menghasilkannya. Ini kerana adakalanya emosi yang tidak stabil akan menyukarkan anda untuk menghabiskan sesuatu rekaan sulaman kerawang. Benang mudah terputus, benang bergumpal dan macam-macam lagi permasalahan akan timbul ekoran daripada ketidakstabilan emosi ini. Sabar dan tenang serta konsisten adalah kuncinya.
Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa kedua-dua petua di atas, amat penting dalam menyempurnakan karier anda untuk menghasilkan corak tempahan sulaman kerawang yang cantik dan berkualiti.
Author:Syahida Ramli
Tinggalkan Balasan Batal balasan
Anda perlu log masuk untuk menghantar ulasan.